Ipoh: Balu kepada Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam kemalangan maut baru-baru ini, akan memanfaatkan jumlah RM193,000 melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterimanya.
Nur Aini Samiun, 44, berkata, kematian suaminya dalam nahas membabitkan anggota FRU di Teluk Intan pada 13 Mei lalu dan mengorbankan sembilan anggota pasukan itu, memberi tamparan hebat buatnya yang juga suri rumah sepenuh masa.
Katanya, biarpun sedih dia tetap bersyukur memandangkan Allahyarham Mohd Roslan melakukan persediaan awal dengan membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk diri sendiri, selain turut membuka akaun Simpan SSPN Plus di bawah Pakej Intan untuk tiga anak mereka.
“Sejak anak kami lahir, kami sudah fikirkan pendidikan masa depan mereka memandangkan saya juga sebelum ini adalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Alhamdulillah arwah sudah bayarkan untuk saya. Jadi kami beringat sebab pendapatan keluarga kami bukannya tinggi.
“Dengan adanya simpanan dalam Simpan SSPN ini kami sentiasa beringat dan berterusan membuat simpanan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan, di sini, Ahad lalu.
Allahyarham Mohd Roslan adalah pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuka akaun untuk dirinya pada 7 Mei 2025 dan mempunyai simpanan yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful berserta khairat kematian berjumlah RM4,000.
Tiga akaun Simpan SSPN Plus juga dibuka Allahyarham di bawah Pakej Intan untuk ketiga-tiga anaknya termasuk anak sulungnya, Muhd Raqin Najmi, 13, yang sindrom down dengan komitmen RM30 sebulan untuk setiap akaun, iaitu simpanan RM20 dan caruman takaful RM10.
Ia melayakkan Mohd Roslan sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) RM60,000 untuk satu akaun dan jumlah keseluruhan RM180,000 untuk tiga akaun.
Selain itu, waris juga layak menerima khairat kematian RM9,000 untuk tiga akaun berkenaan.
Jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang diterima adalah berjumlah RM193,000.
Sementara itu, balu Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, iaitu seorang lagi daripada sembilan anggota FRU yang maut dalam tragedi nahas sama, berkata RM4,000 yang diterima hasil arwah suaminya membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 7 Mei lalu akan dimanfaatkan.
Norazian Mohd Joned, 38, berkata manfaat perlindungan takaful RM1,000 serta khairat kematian berjumlah RM3,000, akan dimanfaatkan bagi dia meneruskan niat arwah suaminya untuk menghantar anak sulung mereka, Amirul Firdaus, 12, memasuki sekolah beraliran tahfiz.
“Memang hasrat arwah sebelum ini hendak menghantar anak sulung kami ke tahfiz, Insya-Allah saya cuba usaha meneruskan niatnya itu.
“Sumbangan terbabit saya gunakan untuk pembelajaran tiga anak saya termasuk yang mahu menyambung pelajaran ke tahfiz.
“Kami suami isteri sebelum ini memang merancang adakan persediaan untuk pendidikan anak dari awal supaya apabila sampai masanya, kami tak terkejar hendak cari di mana,” kata ibu tiga anak berusia setahun hingga 13 tahun itu.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN terpanggil bagi mengunjungi lima keluarga mangsa nahas babitkan anggota FRU di Teluk Intan 13 Mei lalu untuk menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN melalui Program Ziarah Kasih PTPTN.
Katanya, sumbangan disampaikan adalah wang tunai RM15,000 kepada 15 anak mangsa nahas itu dan masing-masing menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Menurutnya, penyampaian itu selain daripada penyampaian manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian skim Simpan SSPN kepada dua waris mangsa tragedi nahas FRU itu iaitu Allahyarham Mohd Roslan dan Amiruddin.
Kata Norliza, PTPTN sentiasa komited dalam memastikan aspek pendidikan sentiasa terpelihara, melalui sumbangan CSR dan manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian Simpan SSPN ianya dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang kehilangan insan tersayang.
“Simpan SSPN ini mempunyai pelbagai kelebihan antaranya mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun selain simpanan ini menawarkan pulangan dividen yang kompetitif serta perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas, selain patuh syariah dan dijamin kerajaan,” katanya.-BH Online