Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kes perisian tebusan atau ‘ransomware’ melonjak hampir 80 peratus pada suku keempat tahun lalu berbanding tempoh sama sebelumnya.

Perisian tebusan ialah sejenis pemerasan digital yang mana penggodam menyulitkan data mangsa sama ada individu, syarikat atau institusi dengan meminta wang sebagai tebusan untuk memulihkannya.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang mendedahkan data daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) mengakui lonjakan kes itu menunjukkan trend amat membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau meminta tindakan tuntas dan bersepadu bagi membanteras jenayah siber dengan lebih berkesan.

Katanya, ini kerana perkembangan dunia siber semakin canggih yang membuka ruang dan peluang berlaku jenayah secara dalam talian dengan lebih kerap.

“Ancaman siber masa kini semakin canggih dan merentasi sempadan. Serangan ransomware, kebocoran data dan penipuan berasaskan siber semakin meningkat dari segi kekerapan serta kerumitan.

“Data CSM mendedahkan sebanyak 78 peratus kes berlaku pada suku keempat 2024 berbanding suku sebelumnya dan ia satu trend amat membimbangkan.

“Realiti ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu merentasi sempadan bagi memerangi jenayah siber,” katanya berucap pada perasmian Cyber Games 2025 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.

Acara Cyber Games 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi melatih peserta meningkatkan kemahiran jenayah siber dengan membabitkan diri dalam latihan kehidupan sebenar, menyelesaikan jenayah siber praktikal, bukti digital, maklumat sumber terbuka (OSINT) dan ancaman keselamatan siber.

Ia disertai lebih 120 peserta dari 40 negara termasuk Malaysia, Brazil, Turkiye, Albania, Singapura, Switzerland dan United Kingdom (UK).

Gobind berkata, penganjuran Cyber Games 2025 sejajar pendekatan strategik Malaysia dalam menangani jenayah siber, selain dapat memperkukuhkan dasar keselamatan siber negara.

“Ini termasuk usaha berterusan kami melaksanakan langkah kukuh dan kerangka undang-undang untuk melindungi infrastruktur digital serta memperkasakan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani ancaman siber.

“Ini termasuk kelulusan Jemaah Menteri baru-baru ini untuk menyertai Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber dan komitmen kami untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa BERSATU (PBB) yang akan datang mengenai jenayah siber.

“Pada masa sama, kami sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini,” katanya.-BH Online