LANGKAWI, 20 Mei – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) membuka tirai secara rasmi hari ini, menandakan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan serta keselamatan serantau.
Edisi ke-17 pameran dwitahunan itu menyaksikan penyertaan 860 pempamer, termasuk sebahagian besar dari luar negara, sekali gus menjadikannya antara acara pertahanan terbesar di rantau ini.
Sebanyak 15 pavilion berkumpulan ditampilkan mewakili pelbagai sektor dalam industri aeroangkasa dan maritim, merangkumi aspek komersial dan pertahanan.
LIMA’25 turut dijangka menyaksikan pemeteraian 96 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dengan nilai melebihi RM11 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi industri pertahanan negara.
Seiring tema ‘Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’, Kementerian Pertahanan menyasarkan pameran kali ini sebagai platform pembangunan industri serta sumber manusia dalam bidang strategik.
Tumpuan juga diberikan kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menghadapi landskap keselamatan global yang semakin kompleks.
Ruang udara Langkawi terus menjadi tumpuan dengan pertunjukan aerobatik menggegarkan langit pulau lagenda ini, termasuk persembahan solo juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kemunculan khas Jet Pikachu TUDM.
Segmen aeroangkasa berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim diadakan di Resorts World Langkawi, dengan 32 kapal dipamerkan dalam pameran statik.
Pameran akan berlangsung sehingga Sabtu ini dan turut dibuka kepada orang awam.-Berita RTM