ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merekodkan peningkatan ketara sebanyak 66,825 aduan berkaitan konflik manusia dan hidupan liar termasuk gajah bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia membabitkan nilai kerugian berjumlah RM46.5 juta akibat serangan hidupan liar, dalam tempoh berkenaan.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=430&adk=1759374627&adf=3919061902&pi=t.aa~a.1654364369~i.2~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1747730735&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×430&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F05%2F1398206%2Faduan-konflik-manusia-hidupan-liar-melonjak-nik-nazmi&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1747730736860&bpp=1&bdt=892&idt=2&shv=r20250515&mjsv=m202505140101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D44c8083e28ca9a77%3AT%3D1747504586%3ART%3D1747730573%3AS%3DALNI_MaTO9uy8iy1fDAlCaLY13RMPIxawg&gpic=UID%3D000010c5ca31e732%3AT%3D1747504586%3ART%3D1747730573%3AS%3DALNI_MaeGVQsbEt2fIpPC-wJy07dHoaB2A&eo_id_str=ID%3D892138d9d39d809d%3AT%3D1747504586%3ART%3D1747730573%3AS%3DAA-AfjZqd4khBNrohUWLLY_O4ekK&prev_fmts=0x0&nras=2&correlator=8277878425432&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=891&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31092426%2C95353386%2C95360815%2C31092449%2C95360956%2C95360950&oid=2&pvsid=1769453762306347&tmod=55856833&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=2&uci=a!2&btvi=1&fsb=1&dtd=48
“Pendekatan yang lebih tuntas dan berkesan dalam menangani konflik antara manusia dan hidupan liar kini menjadi satu keperluan mendesak.
“Ia memandangkan data PERHILITAN merekodkan lonjakan serius dalam jumlah kes konflik manusia dan hidupan liar dengan sebanyak 66,825 aduan membabitkan spesies seperti gajah, harimau Malaya, tapir, kera dan babi hutan dilaporkan antara 2020 hingga 2024.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,919 aduan membabitkan gajah. Di Johor saja, sebanyak 7,996 aduan konflik hidupan liar direkodkan dari 2020 hingga 2024 dengan jumlah kerugian sebanyak RM6.88 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia-Gajah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon; Timbalan Ketua Setiausaha(Sumber Asli) NRES, Norsham Abdul Latip dan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, inisiatif Kerajaan Johor dalam menubuhkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri yang dilancarkan hari ini adalah langkah proaktif.
Katanya, Jawatankuasa Khas itu akan menyelaraskan tindakan pengurusan konflik gajah dan manusia di Johor secara bersepadu dan sistematik termasuk inisiatif translokasi gajah.
“Bagi saya, jawatankuasa khas ini adalah langkah strategik ke arah meningkatkan keberkesanan dalam usaha-usaha menangani konflik manusia dan gajah.
“Gajah adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dengan spesies ini memerlukan kawasan keliaran yang luas di antara 10 kilometer persegi sehingga 250 kilometer persegi.
“Kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN pada 2016 mendapati kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68 peratus sehingga menyebabkan habitat mereka terganggu.
“Keperluan makanan seekor gajah pula adalah di antara 150 kilogram hingga 200 kilogram sehari yang memerlukan gajah terus bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari makanan,” katanya.
Nik Nazmi berkata, konflik manusia dan gajah sebenarnya berlaku disebabkan oleh kehilangan habitatnya akibat perubahan guna tanah untuk aktiviti-aktiviti pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur linear seperti jalan raya, empangan, penempatan manusia dan perbandaran.
Katanya, konflik ini menyebabkan kemusnahan tanaman pertanian dan harta benda, kecederaan serta kehilangan nyawa.-BH Online