PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan membuat semakan kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 apabila situasi tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) menjadi lebih stabil dan terdapat lebih kejelasan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semakan terhadap unjuran rasmi pertumbuhan ekonomi negara adalah susulan ketidaktentuan global yang semakin meruncing, khususnya akibat pengumuman tarif AS, peningkatan ketegangan geopolitik serta penyusutan permintaan luar negara.
“Unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada kadar antara 4.5 hingga 5.5 peratus mungkin disemak semula setelah terdapat kestabilan dan kejelasan terhadap isu tarif ini.
“Dalam masa yang sama, beberapa langkah mitigasi telah dirangka bagi memperkukuh asas dalaman negara, termasuklah memfokus kepada peningkatan pelaburan langsung domestik (DDI).
“Sebagai komitmen utama, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah menyatakan kesediaan untuk melabur sebanyak RM25 bilion dalam DDI pada tahun ini menerusi pelaksanaan program GEAR-uP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Meskipun berdepan cabaran global, ekonomi Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025.
Peningkatan itu adalah selari dengan anggaran awal KDNK dan melebihi pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatat pada suku pertama tahun lalu.
Pertumbuhan itu dipacu oleh tiga sektor utama negara iaitu sektor perkhidmatan yang mencatat peningkatan 5.0 peratus, sektor pembuatan (4.1 peratus) dan sektor pembinaan yang melonjak 14.2 peratus.
Amir Hamzah turut memaklumkan, pertumbuhan ekonomi turut disokong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna sempena perayaan Tahun Baru Cina dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, selain pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa sejak Februari dan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini.
“Penggunaan swasta, yang telah menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, mencatat pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2025.
“Ini didorong oleh prestasi pasaran buruh yang menggalakkan dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus dan kestabilan kadar inflasi pada 1.5 peratus — kedua-duanya terendah dalam sejarah Kerajaan MADANI,” katanya.
Sebagai perbandingan, pada suku pertama 2024, penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7 peratus dengan kadar pengangguran berada pada paras 3.3 peratus dan inflasi pada 1.7 peratus.
Pelaburan pula mengekalkan momentum dengan pertumbuhan 9.7 peratus pada suku pertama tahun ini, mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap dasar-dasar pro-pembangunan Kerajaan MADANI.
Dasar berkenaan termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar, Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip berkecuali dan mempercepat pelaksanaan agenda reformasi sebagai benteng mempertahankan kestabilan dan daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan juga akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan yang dinamik, termasuk usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi, selain meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan AS,” katanya.
Di peringkat serantau dan global, Malaysia akan memanfaatkan saluran pelbagai hala seperti ASEAN dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan kondusif untuk semua pihak.
Langkah mempelbagaikan pasaran eksport dan mempercepat pemeteraian perjanjian perdagangan baharu turut dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.
Usaha itu telah menampakkan hasil sejak tahun 2024 dengan peningkatan ketara pelaburan dan nilai eksport ke negara-negara bukan tradisional seperti Mesir, Pakistan dan Kemboja, di samping pasaran ASEAN yang lain.-BH Online