KUCHING: Sistem pendidikan negara tidak boleh kerap berubah setiap kali pucuk kepimpinan kementerian berganti baharu atau berlaku pertukaran menteri, sehingga menjadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun menteri silih berganti terutama selepas pilihan raya umum (PRU), Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa sektor pendidikan tidak boleh dilihat untuk tempoh beberapa tahun saja, sebaliknya ia perlu hingga 50 tahun ke hadapan.
Beliau berkata, memang tidak dinafikan pucuk kepimpinan Kementerian Pendidikan (KPM) kerap berubah seiring PRU yang diadakan setiap lima tahun.
“Tetapi janganlah setiap lima tahun PRU apabila berganti menteri, sistem turut diganti, ganti silibus dan ganti kaedah.
“Jangan jadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji… kalau boleh sistem itu mesti kekal panjang hingga 50 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Ahmad Zahid berkata, sistem pendidikan negara bermatlamat untuk melahirkan insan berkualiti, dan seharusnya sistem sedia ada dilaksanakan dengan teratur sehingga mencapai keberkesanan.
“Janganlah mewujudkan legasi untuk kepentingan peribadi yang akhirnya guru dan murid dimangsakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memuji langkah KPM melantik seramai 1,470 personel MyPg, iaitu pembantu guru, tahun ini.
Beliau berkata, pelantikan pembantu guru itu akan memberi lebih ruang untuk guru memfokus tugas hakiki dalam pelaksanaan pedagogi bagi mencapai kualiti pendidikan yang tinggi.
“Ini kerana beban lain yang terpaksa ditanggung guru selama ini akan diambil alih oleh pembantunya,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid menggariskan lima hala tuju utama dalam membina semula ekosistem pendidikan negara.
“Pertama, perubahan secara inklusif dan saksama dengan peruntukan RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025, mesti benar-benar sampai kepada penerima.
“Kedua, merombak sistem tugasan guru dengan mengembalikan peranan asal mereka dan bijak meminimumkan kerja rutin, serta mengoptimumkan masa emas guru bersama murid,” katanya.
Ketiga, beliau berkata, menjaga kebajikan semua lapisan guru termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), tahfiz, berstatus orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan khas.
“Mereka ini melangkaui batas tugas biasa namun sering tertinggal dari radar penghargaan dan ganjaran.
“Hala tuju keempat pula mempercepatkan transformasi digital secara adil, manakala yang kelima ialah meraikan guru bukan hanya di pentas Hari Guru tetapi dalam sistem perkhidmatan itu sendiri,” katanya.-BH Online