MOSCOW: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa langkah sewajarnya akan diambil bagi mempermudah proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara khususnya pelajar, sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Moscow malam tadi, beliau berkata perkara itu dibangkitkan sebelum ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, SPR adalah sebuah badan bebas dan kerajaan tidak boleh campur tangan dalam operasi SPR.
Anwar berkata, beliau secara peribadi menyokong usaha untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat melaksanakan hak demokrasi untuk mengundi tanpa mengira lokasi mereka.
“Saya telah bangkitkan perkara ini kepada SPR, mengapa kita tidak boleh pastikan setiap warganegara dapat melaksanakan hak mereka walau di mana juga berada,” katanya dalam sesi soal jawab pada majlis berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi boleh membantu menjadikan proses pengundian lebih mudah diakses dan selamat, sambil menambah penggunaan pengecaman wajah dan teknologi rantaian blok (blockchain) sebagai contoh bagi mengekalkan integriti sistem.
“Dengan platform canggih yang ada hari ini, proses mesti lebih telus dan kukuh. Teknologi blockchain contohnya, boleh menjejak keseluruhan proses pengundian dari awal hingga akhir dan mengelak penyelewengan,” katanya.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan pelajar perubatan tahun akhir, Ahmad Hamizan Hadi Ahmad Hakimi, dari Universiti Perubatan Kursk.
Hamizan menyatakan beliau dan ramai daripada 345 pelajar Malaysia di universiti berkenaan, tidak dapat mengundi pada PRU lalu berikutan jarak jauh antara kampus dan Kedutaan Malaysia di Moscow.
Katanya, pengundian atau pendaftaran secara dalam talian juga tidak dapat dilakukan, berkemungkinan disebabkan sekatan yang menjejaskan akses internet dan platform digital di Russia.
“Rasa rugi kalau kami tidak dapat mengundi,” katanya.
Anwar mengakui kebimbangan itu sebagai isu yang sah dan perlu diberi perhatian supaya golongan muda Malaysia di luar negara tidak terpinggir daripada proses demokrasi.
“Kita akan pastikan sebelum PRU akan datang, satu proses diwujudkan untuk memudahkan pengundian.
“Jika tidak, berjuta-juta anak muda kita di luar negara boleh hilang hak untuk mengundi.
“Secara teknikal, mereka masih boleh mengundi dengan pergi ke kedutaan, tetapi proses itu tidak sepatutnya membebankan,” katanya.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=3899972605&pi=t.aa~a.1654364369~i.36~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1747202035&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F05%2F1395622%2Fproses-mengundi-bagi-rakyat-malaysia-di-luar-negara-akan-dipermudah&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1747202036898&bpp=1&bdt=858&idt=1&shv=r20250512&mjsv=m202505070101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D2c6c65e2b08950ee%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747201689%3AS%3DALNI_MYFr7ZmdW3ttzgHoi67K60oeSIv3w&gpic=UID%3D000010c08ed6ff65%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747201689%3AS%3DALNI_MaRqw6gllaiLsqe0QsPovktFACJMg&eo_id_str=ID%3D5e478c2a11f547ac%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747201689%3AS%3DAA-AfjasaI-tDk3dTT3f_mZQ4eNO&prev_fmts=0x0%2C430x358&nras=3&correlator=5362873485362&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=2971&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31092200%2C95353386%2C95360610%2C95359271&oid=2&pvsid=7148559520242627&tmod=374940205&uas=3&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=3&uci=a!3&btvi=2&fsb=1&dtd=87
Lebih 100 rakyat Malaysia, termasuk pelajar dan kakitangan kedutaan, hadir pada majlis makan malam itu yang dihoskan oleh Perdana Menteri.
Turut hadir lima menteri yang mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke Russia, termasuk Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.-BH Online