Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MOSCOW: Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan hari kedua lawatan rasmi beliau ke Russia dengan menghadiri beberapa sesi libat urus peringkat tinggi bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama strategik dengan Moscow.

Hari ini, Perdana Menteri memulakan jadual dengan menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin industri Russia yang berlangsung di Hotel Metropol yang bersejarah, membabitkan penyertaan 24 syarikat utama serta dua majlis perniagaan.

Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam sektor pertanian, teknologi, logistik, pembuatan dan perkhidmatan kewangan.

Lawatan beliau diiringi lima menteri termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selepas sesi meja bulat, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin di Rumah Kerajaan bagi membincangkan usaha kemudahan perdagangan, pendidikan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas.

Kemudian, delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang akan ke Istana Grand Kremlin untuk pertemuan penting dengan Presiden, Vladimir Putin.

Perbincangan dijangka meliputi pertukaran teknologi, tenaga dan keselamatan makanan, pendidikan tinggi, ekonomi halal dan kerjasama pelbagai hala termasuk penglibatan Malaysia dalam BRICS dan Global South.

Satu sidang media bersama dijangka diadakan selepas itu.

Sebagai penutup jadual hari ini, Anwar turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar, Sheikh Ravil Gaynutdin, yang juga Pengerusi Majlis Mufti Russia, sekali gus menyerlahkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan dengan institusi Islam di peringkat global.-BH Online