Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk menilai semula laluan membabitkan jalan raya dan rel kereta api yang dilihat berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia.

Menterinya, Anthony Loke berkata, antara laluan sedang dilihat semula adalah rel kereta api di Gemas–Johor Bahru yang pernah mempunyai ancaman hidupan liar seperti gajah.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini berusaha melindungi hidupan liar supaya laluan dibina tidak memberi ancaman kepada haiwan itu dan pada masa sama melindungi pengguna pengangkutan kereta api dan jalan raya.

“MOT sudah pun mengambil langkah untuk menjaga keselamatan orang ramai serta melindungi hidupan liar termasuklah di projek-projek rel. 

“Seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita sudah mempunyai langkah-langkah mitigasi termasuklah laluan dan terowong yang dibina khas untuk pergerakan hidupan liar.

“Kita juga akan melihat perkara ini di laluan (kereta api) Gemas–Johor Bahru kerana terdapat insiden gajah melintas landasan di situ.

“Kita ambil serius perkara ini bukan hanya untuk melindungi hidupan liar tetapi nyawa manusia kerana kita tahu apa yang akan berlaku sekiranya gajah melintas ketika kereta api sedang laju,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putra Perdana, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, negara hiba apabila seekor ibu gajah dilapor tidak berganjak selama beberapa jam selepas anaknya dirempuh dan terperosok di bawah lori di Jalan Raya Timur-Barat.

Gajah dewasa itu kelihatan berusaha ‘menolak’ lori berkenaan dengan kepalanya untuk menyelamatkan anaknya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, langkah berkenaan akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Beliau berkata, dalam meningkatkan aspek keselamatan di Lebuh Raya Timur-Barat, penambahan lampu jalan akan dilakukan di situ.

“Kita juga akan melaksanakan aspek-aspek lain membabitkan mekanisme pendanaan yang diluluskan oleh jawatankuasa Kabinet, memandangkan ia menjadi punca kewangan dan tiada peruntukan khas untuk tindakan seperti ini,” katanya.-BH Online