Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Luar memantau rapat perkembangan di rantau Asia Selatan, terutama keadaan keselamatan rakyat Malaysia di India dan Pakistan.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, pihaknya telah berhubung secara berterusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad, serta pejabat-pejabat konsulat di negara terbabit untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berkenaan turut berhubung dengan rakyat Malaysia di kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan mereka.

“Ini meliputi bantuan konsul dan khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan ruang udara serta gangguan operasi syarikat-syarikat penerbangan membabitkan 32 lapangan terbang di bahagian barat dan utara India, serta lapangan terbang Islamabad, Lahore dan Karachi di Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa di India, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai sedang memberi bantuan kepada lebih 350 rakyat Malaysia yang sedang melancong serta bekerja di kawasan-kawasan terjejas.

Di Pakistan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad serta Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi pula giat membantu dari segi penginapan, kebajikan dan penyelarasan perjalanan rakyat Malaysia yang terkesan melalui pelbagai laluan.

Menurut Kementerian Luar, hingga hari ini, lebih 100 rakyat Malaysia telah dibantu dengan kebanyakan mereka sama ada sudah berlepas pulang atau dijadualkan berlepas pulang dalam masa terdekat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, terutama berhampiran kawasan sempadan, dinasihatkan mendaftar keberadaan mereka dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat.

Ia turut menggesa rakyat Malaysia menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting ke kawasan sempadan, dan kekal berada di kawasan lebih selamat.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh berhubung secara langsung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada waktu pejabat menerusi talian +9011 2415 9300 atau +9011 2415 9311. Selepas waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian kecemasan +90 85955 50564.

Rakyat Malaysia yang berada di Pakistan pula boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad pada waktu pejabat melalui talian +9251 2072900 sambungan 123 atau 125, manakala bagi kecemasan di luar waktu pejabat boleh hubungi talian +923028443021.

Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh mendapatkan bantuan melalui Bahagian Konsular, Kementerian Luar di Putrajaya dengan menghubungi talian +603 8887 4412 atau +603 8887 4771 pada waktu pejabat. 

Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi Bilik Perhubungan 108 melalui talian +603 8887 4570.

Media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa India mengumumkan pembukaan semula 32 lapangan terbang pada Isnin, yang sebelum ini ditutup kepada operasi penerbangan awam akibat sekatan ruang udara susulan ketegangan dengan Pakistan, minggu lalu.-BH Online