Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TELUK INTAN: Waris kepada sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus-Sungai Lampan di sini, hari ini, akan menerima pampasan serta bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia termasuk bantuan RM25,000 melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada waris anggota terbabit.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya, terutama dalam situasi kecemasan serta musibah yang menimpa mereka ketika menjalankan tugas rasmi.

“Melalui Tabung Kebajikan, setiap anggota terbabit bencana kerja dan meninggal dunia, akan menerima sumbangan RM1,200 yang diberikan pada hari ini.

“Bawah TAPPN pula, bantuan sebanyak RM25,000 akan diberikan kepada waris kes kematian, manakala cedera parah serta hilang upaya kekal (RM8,000 hingga RM11,000), dan cedera ringan (RM1,000). Bentuk bayaran bergantung pada penilaian pakar perubatan.

“Menerusi Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM, kes meninggal dunia akan menerima pampasan secara pukal sebanyak RM20,000 serta bayaran bulanan kepada waris yang layak. Hilang upaya kekal atau cedera pula akan menerima pampasan secara pukal atau bulanan, bergantung pada tahap kehilangan upaya yang dialami.

“Hilang upaya kekal lebih 21 peratus layak menerima pampasan secara pukal dan bulanan, manakala kurang 20 peratus pula layak menerima pampasan secara bulanan saja.

“Pembayaran pampasan ex-gratia ini bergantung pada penilaian dan pelaporan pakar perubatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Selain itu, Ayob Khan berkata, Koperasi PDRM menyediakan bantuan khairat kematian RM1,500 seorang, dan pampasan insurans antara RM36,000 hingga RM211,000, bergantung pada jumlah caruman masing-masing.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak akan turut menyumbangkan RM11,000 bagi anggota terbabit kes kematian dengan bayaran pendahuluan RM2,000 diserahkan pada hari ini.

“PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit, dan akan terus berusaha memastikan kebajikan anggota serta waris mereka sentiasa terbela,” katanya.-BH Online