Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Berlin (Jerman): Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiba bagi menghadiri forum ‘United Nations (UN) Peacekeeping Ministerial 2025’ selama dua hari di Berlin yang bermula hari ini.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin Brandenburg, 5.36 petang waktu tempatan, di sini, semalam, bersama delegasi Kementerian Pertahanan disambut Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Berlin Rozaime Mohamed Desa.

Berlangsung pada 13 dan 14 Mei, mesyuarat itu adalah forum politik peringkat tinggi, membincangkan masa hadapan penjagaan keamanan serta memberi peluang kepada negara anggota menyatakan dan menunjukkan sokongan politik mereka.

Forum ini juga akan menjadi platform bagi delegasi menyatakan komitmen mereka dalam mengurangkan jurang keupayaan dan menyesuaikan operasi keamanan, agar lebih responsif terhadap cabaran sedia ada dan realiti baharu, selaras dengan panduan penzahiran janji.

Forum dwitahunan itu menghimpunkan pemimpin dan pegawai tertinggi negara yang mendukung misi pengaman di bawah PBB, dengan Mohamed Khaled akan mengambil peluang itu untuk menyuarakan pandangan serta memperbaharui komitmen negara dalam mendokong usaha keamanan sejagat.

Semasa berlangsungnya forum itu, Mohamed Khaled juga dijadualkan mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius dan Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto.-MyMetro Online