KEPALA BATAS: UMNO bercadang menubuhkan Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pusat penyelidikan dan kajian politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata saranan itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, bulan depan.
Jika tiada halangan, katanya, penubuhan institut berkenaan akan diisytihar pada sambutan ulang tahun UMNO ke-80, tahun depan.
“Selain menjadikannya pusat pimpinan di bawah UMNO, kita juga mahu menghargai dan mengabadikan (jasa) Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Ia juga boleh dijadikan rujukan bagi penyelidik dan pengkaji sejarah sepanjang 79 tahun perjuangan UMNO.
“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan meraikan ulang tahun UMNO yang ke-80 dan isytiharkan ketika itu,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikan Majlis Pemasyhuran MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Dato’ Abdul Fatah di sini, hari ini.
Hadir sama, anak lelaki Allahyarham Abdullah iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dah Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, UMNO mempunyai pusat kaji selidik sebelum ini tetapi tidak aktif dan akan dihidupkan semula menggunakan nama Tun Abdullah.
Ahmad Zahid turut mengarahkan Asyraf Wajdi mengadakan seminar pemikiran Abdullah dalam tempoh sebulan ini untuk kumpulan intelektual, sejarawan, ahli profesional, khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
“Ia bagi mencungkil fikrah (pemikiran) beliau (Abdullah) menjadi PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik), Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Timbalan Menteri hingga Perdana Menteri,” katanya.-BH Online