Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di Malaysia.

Beliau berkata, Hari Wesak mengangkat nilai sejagat seperti kasih sayang, belas ihsan dan keinsafan diri yang selari dengan aspirasi perpaduan negara.

“Kepelbagaian adalah kekuatan Malaysia. Namun kekuatan ini hanya mampu dikekalkan jika kita faham antara satu sama lain, hormat kepada perbezaan dan terima kepelbagaian sebagai sebahagian daripada identiti negara.

“Nilai-nilai ini (iaitu) faham, hormat dan terima bukan hanya untuk ditutur, tetapi untuk dihayati dalam tindakan dan dasar kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata nilai-nilai itu harus bermula di rumah, diperkukuh di sekolah, diterjemah dalam komuniti dan dipelihara oleh setiap warga negara.

Hari Wesak yang disambut esok merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama iaitu pengasas agama Buddha. – BERNAMA