Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lipis: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengadakan lawatan kebajikan serta menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) selama dua hari di negeri ini, hari ini.

Adly berkata, program anjuran Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu bertujuan mendekati veteran secara bersemuka, mengenal pasti keperluan mereka serta mendapatkan maklum balas terhadap pelbagai inisiatif dilaksanakan kementerian.

“Sepanjang program ini, saya bertemu dengan 14 veteran ATM di Raub dan 16 veteran ATM di Kuala Lipis, termasuk dua orang yang bergelar usahawan. 

“Selain itu, saya turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada tiga balu yang mewakili Allahyarham suami masing-masing serta menyerahkan sumbangan peralatan perniagaan kepada veteran ATM yang terbabit dalam keusahawanan.

“Program PVM adalah antara inisiatif utama kementerian dalam menyokong Pelan Strategik Mindef 2021-2025, khususnya Teras 7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM,” katanya ketika ditemui di kediaman veteran, Hamidun Kamis di Kampung Bapong, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha memperkasa kesejahteraan golongan veteran turut seiring dengan Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan yang menekankan pendekatan menyeluruh membabitkan kerjasama pelbagai pihak.

“Program PVM turut mendapat kerjasama sektor awam dan swasta dengan penyertaan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dalam usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan warga veteran ATM,” katanya.

Sementara itu, Hamidun, 74, berkata, dia gembira dan bersyukur dengan inisiatif yang dilaksanakan kementerian pertahanan untuk membantu veteran tentera.

“Program ini melambangkan kerajaan masih menjaga kebajikan bekas tentera di seluruh negara,” katanya.-MyMetro Online