Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MAKKAH: Seramai 11,396 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci setakat ini menerusi 39 penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata daripada jumlah itu, 5,253 jemaah kini berada di Madinah, manakala 6,143 lagi di Makkah.

“Setakat ini, sejumlah 39 penerbangan jemaah haji selamat berlepas dari Malaysia dan semuanya telah mendarat di Lapangan Terbang Madinah. Ini sebahagian daripada keseluruhan 47 penerbangan yang dijadualkan tiba di Madinah.

“Insya-Allah, mulai 14 Mei ini, penerbangan ke Jeddah pula akan bermula dan jemaah akan terus bergerak ke Makkah bagi menunaikan umrah sebelum mengerjakan ibadah haji,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.

Kumpulan pertama (KT1) terdiri daripada 112 jemaah lelaki dan 141 jemaah wanita selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada 29 April, manakala penerbangan terakhir dijadual pada 1 Jun.

Mohd Hisham berkata jemaah haji Malaysia yang sudah berada di Makkah, setakat ini telah menyempurnakan ibadah umrah masing-masing dengan lancar.

“Sepanjang tempoh menanti hari wukuf di Arafah, Lembaga Tabung Haji (TH) telah merangka pelbagai program pengisian, termasuk sesi bimbingan ibadah secara berterusan bagi memastikan jemaah sentiasa bersedia secara fizikal dan rohani untuk menghadapi kemuncak ibadah haji,” katanya.

Mohd Hisham berkata sehingga kini, seramai 2,059 jemaah mendapatkan rawatan kesihatan di pusat kesihatan TH, dengan isu kesihatan paling kerap dilaporkan termasuk penyakit berkait saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, diikuti masalah kulit kering akibat cuaca panas dan kering.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci melakukan senaman ringan ketika dalam penerbangan kelak, bagi melancarkan peredaran darah dan mengurangkan risiko deep vein thrombosis (DVT) iaitu pembekuan darah yang boleh menjejaskan organ dalaman.-BH Online