KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu UMNO bangkit sebagai parti masa hadapan dengan berteraskan kepada tiga wasilah politik yang penting untuk diamalkan demi kelangsungannya.
Presiden UMNO itu berkata parti tidak boleh lagi terus selesa dengan naratif lama untuk berdepan cabaran kini, sebaliknya perlu mengamalkan wasilah yang ditetapkan dalam parti membabitkan politik solusi, legasi dan moderasi demi memenangi semula hati rakyat.
“Dalam wasilah pertama iaitu politik solusi, rakyat hari ini mahu mendengar resolusi yang praktikal, mahu melihat
UMNO berbicara mengenai isu sebenar hidup mereka.
“Kejayaan kita dalam pilihan raya kecil (PRK) membuktikan satu perkara penting rakyat kini lebih selesa mendengar solusi yang menyentuh kehidupan mereka daripada terus dihujani retorik politik yang semakin memualkan di telinga mereka.
“Dalam politik legasi pula, UMNO tidak boleh diwariskan hanya atas nama, tetapi sebagai nilai dan kepimpinan. Kita mesti melahirkan pewaris berkualiti, generasi muda, wanita, profesional berani, berwibawa, dan berfikir kritikal.
“Terakhir, politik moderasi. Dunia hari ini sarat dengan tribulasi dan polarisasi, dipenuhi politik ekstrem dan retorik pemecah belah, UMNO tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal sebaliknya parti mesti kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras, dan menyatukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO perlu berdiri sebagai jurutera perkongsian kuasa dalam dinamika politik kini dan bukan hanya sekadar gah sebagai parti politik.
Beliau berkata dalam meniti arus perubahan zaman yang mencabar kini, UMNO tidak boleh statik atau jumud dengan bergantung kepada pendekatan lapuk dalam mendepani dinamika politik.
“Sebaliknya UMNO perlu pragmatik dan berani menyesuaikan strategi dan gerak kerja seiring dengan politik baharu,” katanya.-BH Online