KUALA LUMPUR: UMNO berhasrat melahirkan aset parti yang konsisten dalam perjuangan dan pendirian, selain pemimpin yang tidak akan tunduk pada ancaman, melalui penubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata melalui SPU, parti diyakini tidak akan berdepan dengan risiko wujudnya `pemimpin lalang` yang mudah berubah pendiriannya pada masa depan.
“SPU adalah aset UMNO di masa akan datang. Hari ini adalah permulaan kepada perjuangan. Kita mahu melahirkan pemimpin dan pengikut UMNO yang konsisten. Kita tidak mahu melahirkan lalang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. (Kena) Ugut sikit, lompat (parti).
“Jadilah macam presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Walau diugut bubarkan UMNO, beliau tetap mempertahankan parti. SPU adalah aset UMNO di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Ulang Tahun UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Pertama SPU Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Timbalan Presiden,
Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bagi sesi pertama, seramai 48 peserta berjaya menamatkan latihan masing-masing dan menerima sijil, hari ini.
Sesi kedua pula membabitkan seramai 62 peserta yang sudah pun memulakan latihan.
Pada masa sama, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU berkata sekolah politik itu bukan program bermusim atau sekadar perintis tetapi berperanan sebagai sistem pendidikan politik yang konsisten, berstruktur dan dirancang untuk jangka masa panjang.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, paling penting, SPU bukan sekadar program latihan sebaliknya inisiatif penting dalam usaha membina pelapis pemimpin UMNO yang berdisiplin, berprinsip dan berjiwa besar.
“SPU adalah sebahagian penting daripada gagasan ‘UMNO Moving Forward’ (bergerak ke depan). Ia satu anjakan besar ke arah pembaharuan parti.
“Ia bukan hanya bertumpu kepada strategi pilihan raya, tetapi juga kekuatan akar umbi dan kualiti kepimpinan masa depan,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pelaksanaan SPU adalah sebuah projek istimewa yang lahir daripada wawasan dan pemikiran Presiden UMNO.
Beliau berkata, semua peserta menjalani pelbagai modul secara intensif dan membuktikan keupayaan sebagai pelapis harapan parti.
“Ada dalam kalangan mereka terbabit dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, baru-baru ini dan mereka berjaya menjalankan tugas dengan baik, termasuk menarik pengundi untuk menyokong UMNO,” katanya.-BH Online