TAWAU: Kerajaan MADANI melaksanakan sebanyak 144 projek pembangunan di Sabah setakat ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, antara projek yang terbabit termasuk kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau dan Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay serta cadangan pembinaan sebuah pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.
Anwar berkata kerajaan turut memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pelaksanaan Program Solar MADANI, yang menyaksikan Tawau dipilih sebagai lokasi projek rintis, membabitkan pemasangan 40 tiang lampu solar hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pembabitan komuniti setempat.
“Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains, serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini hari ini.
Menurut Anwar, dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan MADANI, namun beliau mengakui masih terdapat kekangan tertentu.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Sabah.
“Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ini hadiah kepada para ibu yang ramai berniaga di Tamu Desa ini, supaya penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi lebih keselesaan agar dapat berniaga dan berteduh daripada kepanasan dan hujan
“Saya tidak mahu menjadi perdana menteri yang melupakan kesusahan rakyat. Sebab itu, kita sentiasa berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah daripada aspek kesalinghubungan, teknologi kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta usaha menoktahkan kemiskinan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini, Anwar berkata program berkenaan merupakan platform terbaik untuk rakyat setempat mendapat pendedahan mengenai pelbagai inisiatif, program dan projek yang dilaksanakan kerajaan.
“Ini satu pendedahan kepada rakyat tentang apa yang telah dan sedang dilakukan kerajaan, sama ada dalam sektor pertanian, digital mahupun pertahanan. Jadikan platform ini sebagai ruang pemantauan agar anak muda turut boleh memberi pandangan dan cadangan demi membina Malaysia yang hebat dan maju,” katanya.
Bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, PMR Sabah 2025 adalah inisiatif kerajaan melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Sabah sebagai tuan rumah, bagi membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.-BH Online