Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu meminda beberapa undang-undang bagi membolehkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) bergerak sendiri tanpa terikat dengan jabatan lain.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada dasarnya JPKK sudah beroperasi sepenuhnya meskipun masih berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun katanya, beberapa undang-undang berkaitan kanak-kanak perlu dipinda bagi mengelak bertindih dengan jabatan lain.

“Dari segi operasi, tidak ada perubahan dan kita masih lagi merekrut kakitangan baharu yang dijangka selesai tahun depan.

“Tetapi ketika ini, banyak undang-undang lain yang berkaitan kanak-kanak antaranya akta kanak-kanak, akta berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta akta jenayah babitkan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Parlimen Santubong, di sini, hari ini.

Nancy berkata, proses untuk meminda undang-undang itu memerlukan masa agak lama yang dijangka diselesaikan tahun depan.

“Apabila kita hendak meminda sesuatu undang-undang, ianya bukan perlukan masa sehari atau sebulan.

“Sebab sebelum mengemukakan permohonan untuk meminda undang-undang itu, kita perlu melihat kepada undang-undang yang berkaitan bagi mengelak konflik dengan jabatan lain,” katanya.

JPKK ditubuhkan pada September 2023 bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah JKM. 

Antara undang-undang yang perlu dipinda ialah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Orang-Orang Papa 1977, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, Akta Pusat Jagaan 1993, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Sementara itu katanya, KPWKM juga akan bekerjasama dengan kementerian lain bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman ‘scammer’ khususnya kalangan wanita.

“Usaha memberi kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan berikutan peningkatan kes penipuan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Jika kita tidak peka, ia akan menjadi satu kebiasaan,” katanya.-MyMetro Online