KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menyertai Global Water Summit (GWS) 2025 anjuran Global Water Intelligence (GWI) sempena lawatan kerja rasmi ke Perancis bermula hari ini hingga Rabu.
Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan lawatan kerja itu antara lain bertujuan meneroka peluang kerjasama antara Malaysia dan Perancis dalam bidang peralihan tenaga.
PETRA berkata, Global Water Summit platform untuk menyampaikan hala tuju strategik sektor air negara ke arah menjadikan sektor air pemangkin pembangunan mampan dan daya saing ekonomi negara, seterusnya menjadikan sektor air hab ekonomi menjelang 2040 selaras visi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
Dalam lawatan sama juga, kementerian itu berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air turut dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari pembukaan Global Water Summit 2025 Selasa ini yang bertemakan ‘Delivering the Economics of Water’.
“Undangan kepada beliau (Fadillah) untuk menyampaikan ucaptama di sesi Plenari Pembukaan persidangan ini berdasarkan pencapaian Malaysia yang berjaya menjadi negara contoh melaksanakan tadbir urus baik dalam pengurusan air iaitu usaha Malaysia ke arah penggunaan air pulih guna sebagai sumber alternatif bagi kegunaan perindustrian dan peluasan perkhidmatan sanitasi kepada komuniti berpendapatan rendah,” katanya melalui kenyataan.
Tambah PETRA lagi, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan penanda aras ke loji jana kuasa tenaga nuklear dengan kerjasama pihak Electricite de France (EDF) selaras inisiatif kerajaan berkaitan keperluan tenaga nuklear sebagai opsyen campuran bahan api tenaga di Malaysia untuk memastikan sekuriti bekalan tenaga di negara ini.
Turut dijangka berlangsung, perbincangan dan sesi perkongsian ilmu bersama enam kementerian dan agensi utama di Perancis yang bertanggungjawab terhadap pembangunan teknologi dan tadbir urus nuklear Perancis.
Ia melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Perancis, Electricite de France (EDF), National Agency for Radioactive Waste Management (ANDRA), French Authority for Nuclear Safety and Radiation Protection (ASNR), International Institute of Nuclear Energy (I2EN) serta French Alternative Energies and Atomic Energy Commission (CEA).
“Timbalan Perdana Menteri juga bakal mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Industri Perancis, Marc Ferracci untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga serta mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Potensi kerjasama dengan pihak Perancis meliputi aspek keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga, penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik,” katanya.
PETRA memaklumkan, lawatan kerja rasmi ke Perancis ini antara langkah memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelaburan dunia yang membuka peluang kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga.
“Inisiatif lawatan kerja ini juga mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan melalui tadbir urus yang baik meliputi usaha kerjasama strategik di peringkat antarabangsa dalam usaha memperkukuh daya saing negara di pentas global,” katanya.-BH Online