Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi restu kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membida Piala Dunia 2026 yang dilihat bakal memberi impak kepada Tahun Melawat Malaysia tahun depan. 

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Malaysia menyambut dengan tangan terbuka cadangan dikemukakan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader untuk Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan berprestij berkenaan.

“Tadi presiden ASTAF mencadangkan supaya Malaysia membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan yang bukan sahaja untuk acara lelaki tetapi juga acara wanita. 

“Saya rasa ini satu cadangan yang baik kerana kita mempunyai geran padanan sukan dan hasrat kita adalah untuk membawa kejohanan dunia seperti ini ke Malaysia terutamanya sukan berpasukan.

“Ini kerana sukan berpasukan… pasukan akan datang, keluarga juga akan datang dan ini bagus untuk Malaysia. Jadi saya harap, PSM akan membida kejohanan ini,” kata Hannah dalam sidang media selepas majlis pelancaran rasmi Piala Asia 2025, hari ini. 

Sebagai rekod, Malaysia sering menjadi lokasi pilihan sebagai penganjur kejohanan sukan sepak takraw dengan pada tahun lalu, Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia di Stadium Titiwangsa. 

Malah dengan kejayaan penganjuran itu, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan menganjurkan Piala Asia 2025 yang bakal membuka tirai di stadium sama bermula esok. 

Di Piala Asia, sebanyak 13 negara menyertai kejohanan selepas Pakistan pada saat akhir menarik diri atas faktor keselamatan susulan ancaman serangan tentera India sejak awal minggu ini.-BH Online