Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah memperkenankan pelantikan semula Azam bagi memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subsekyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

“Pelantikan semula ini berdasarkan pengalaman, komitmen dan pencapaian beliau sepanjang mengetuai SPRM,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam adalah nama yang tidak asing dalam landskap penguatkuasaan undang-undang dan usaha pembanterasan rasuah negara.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada 1963, Azam berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana dari Asia E-University.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penguatkuasaan apabila menyertai agensi antirasuah berkenaan pada 1984 yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang antaranya sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan serta pegawai pendakwa di Kelantan dan Perak selain tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Azam pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam SPRM antaranya sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi). 

Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020 sebelum dilantik semula menerajui agensi itu pada 2020 dan 2023.

Sepanjang tempoh menerajui SPRM, Azam menekankan pendekatan siasatan yang bebas, telus dan berasaskan bukti selain memperkenalkan beberapa pembaharuan utama termasuk pengukuhan institusi dan undang-undang termasuk usaha menambah baik perundangan berkaitan rasuah serta memajukan reformasi institusi untuk memperkukuh keberkesanan agensi antirasuah berkenaan.

Selain itu, beliau melaksanakan transformasi digital SPRM melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan dan blok rantai bagi memerangi rasuah dalam bentuk yang lebih kompleks dan terancang serta penubuhan Pasukan Taktikal Khas (ACTS) untuk menangani risiko keselamatan pegawai siasatan dan meningkatkan respons operasi.

Azam turut giat mempromosikan pencapaian baik SPRM di pelbagai platform antarabangsa antaranya melalui Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

Di bawah kepimpinannya, SPRM turut mengambil tindakan terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum antaranya siasatan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS), penahanan tokoh politik ternama dalam kes pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa serta tindakan ke atas anggota penguat kuasa dan kastam yang terlibat dalam rasuah.

Selain itu, beliau menekankan pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi sebagai langkah pencegahan jangka panjang seiring pendekatan Malaysia MADANI yang menjadi integriti teras kepada pentadbiran negara.

Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan serta komitmen tinggi terhadap integriti institusi, Azam kekal sebagai tonggak penting dalam menerajui usaha negara membanteras rasuah secara berkesan dan berterusan.– BERNAMA