Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 tidak tertakluk kepada sebarang pengecualian terhadap mana-mana sektor perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan tidak ada dalam akta itu yang menyatakan ia terpakai kepada kategori tertentu sahaja.

Justeru, beliau menekankan bahawa AKHAP 2011 terpakai untuk semua sektor serta tidak mengikut darjat dan tiada pengecualian.

“Banyak sektor perniagaan sedia ada yang tertakluk kepada akta berkenaan.

“Selagi mana anda menjual barangan kepada pengguna (walau apa jenis sekalipun), Seksyen 10 akta itu memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk menetapkan peraturan pelabelan atau penandaan harga,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan AKHAP 2011 (Akta 723) terhadap bidang perubatan, khususnya berkaitan peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Bakal Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu, dilaporkan berkata pihaknya menyokong penuh prinsip ketelusan dalam penetapan harga ubat, namun ia harus dibuat melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Beliau dipetik berkata, sektor perubatan berkenaan tidak boleh disamakan dengan kedai runcit kerana menyifatkan pihaknya menawarkan perkhidmatan profesional kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan sebelum ini, AKHAP sudah pernah dikuatkuasakan terhadap sektor kesihatan.

Mengambil contoh ketika penularan COVID-19, beliau berkata, terdapat perintah yang dikeluarkan bawah AKHAP membabitkan vaksin COVID-19.

“Selain itu, ada dua perintah yang masih berkuat kuasa, iaitu berkaitan pelitup muka serta kit ujian pantas antigen.

“Dalam konteks hak universal pengguna, tidak ada perbezaan darjat penjual profesional ataupun penjual kalangan peruncit.

“Bila mana perniagaan anda menjual barangan kepada pengguna, tanggungjawab kerajaan ialah memastikan rakyat sebagai pengguna mempunyai hak akses kepada maklumat, sekali gus hak untuk membuat pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna supaya menggunakan hak mereka untuk memilih penjual yang menghormati dan mengiktiraf hak asasi serta hak universal kepenggunaan.

“Apapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meneliti memorandum yang sudah dikemukakan seperti yang diputuskan Kabinet,” katanya.-BH Online