PUTRAJAYA: Penjawat awam yang bekerja di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN dan beberapa mesyuarat besar pada akhir bulan ini, dibenarkan bekerja dari rumah (WFH).
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sejumlah sekolah yang berada dalam laluan Sidang Kemuncak ASEAN turut dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan senarai penuh sekolah yang terbabit dalam masa terdekat.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sektor swasta yang berpangkalan dan mempunyai ibu pejabat di kawasan di mana akan berlangsungnya sidang kemuncak adalah digalakkan untuk membenarkan pekerja-pekerja mereka bekerja dari rumah.
“Dalam masa terdekat, pihak polis akan mengumumkan laluan-laluan utama yang akan digunakan antaranya membabitkan kawasan KLIA, Lapangan Terbang Subang dan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi berkata, sebanyak tiga persidangan besar akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini iaitu Sidang Kemuncak Asean, Sidang Kemuncak Kemuncak Asean GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China.
“Ini adalah satu acara bersejarah dan peluang yang baik bukan saja untuk Malaysia tetapi ASEAN, bagi memanfaatkan sidang itu bagi memungkinkan perbincangan beberapa perkara termasuk isu ekonomi di rantau ini dan kerjasama dengan GCC,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang mengawal selia yuran rundingan di klinik swasta, akan dikaji semula.
Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memaklumkan ketika mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bahawa penyediaan kertas Kabinet sedang dijalankan.
“Jadual ketujuh akta itu, yang mengawal yuran rundingan di klinik swasta, akan dikaji semula.
“Perkara ini dijangka akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri dalam tempoh satu hingga dua minggu untuk keputusan,” katanya.
Fahmi berkata, Perdana Menteri turut meminta Kementerian Kesihatan meneliti isu berkaitan penggunaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap profesion perubatan.
“Beberapa doktor, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempersoalkan penggunaan akta ini dan Perdana Menteri meminta supaya perkara ini diperjelaskan dengan segera,” katanya.-BH Online