Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bil 1/2025 hari ini bersetuju tindakan bersepadu dan kolaborasi antara agensi digerakkan secara efektif agar isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam mendepani cabaran itu, pendekatan waspada, sensitif, libat urus dan kawalan akan menjadi kaedah utama menangani isu sensitif di Malaysia.

MPPN juga membincangkan mengenai kajian isu perpaduan dari aspek keselamatan yang dibentangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan statistik 44 isu 3R direkod berdasarkan kes dilaporkan dari Januari hingga April 2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MPPN, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam satu kenyataan pascamesyuarat itu menekankan kepentingan menangani isu provokasi dan sentimen perkauman dalam media sosial secara tegas serta berkesan.

Beliau turut meminta agensi penguat kuasa seperti PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi lain agar bertindak pantas, manakala agensi kerajaan perlu bekerjasama secara menyeluruh bagi memastikan keharmonian dan perpaduan negara terus terpelihara.

Sementara itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan sama pula memaklumkan bahawa kementeriannya akan menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa MADANI pada Jun depan.

Beliau berkata, matlamat utama penganjuran itu ialah mewujudkan suatu wadah wacana kebangsaan yang membincangkan pendekatan, strategi dan dasar ke arah memperkukuhkan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif serta berteraskan nilai MADANI.

Pada mesyuarat sama, Jabatan Latihan Khidmat Negara membentangkan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) membabitkan warganegara berumur 17 hingga 35 tahun dengan konsep baharu berlandaskan Akta Latihan Khidmat Negara, Kertas Putih Keselamatan, Dasar Perpaduan Negara dan Dasar Komuniti Negara.null

Sebelum ini, kerajaan membuat ketetapan supaya latihan asas PLKN 3.0 di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik dan institut pendidikan guru (IPG) bermula daripada pengambilan pelajar bagi sesi akademik 2026/2027.-BH Online