KUALA LUMPUR: Perbincangan lanjut membabitkan urusan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan dimuktamadkan segera.
Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang yakin isu terbabit akan dapat dirungkai dengan berhemah.
Sehubungan itu, katanya beliau mahu semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan atas dasar kepentingan bersama.
Beliau berkata, perbincangan lanjut bagi memuktamadkan perkara itu akan diatur sebaik sahaja Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, kembali dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
“Saya berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak, semalam mengenai urusan PETRONAS-PETROS berdasarkan prinsip yang disepakati sebelum ini.
“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Kerajaan Sarawak mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kerajaan negeri mendakwa sebuah loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) yang menyentuh aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli, telah beroperasi tanpa permit sah di bawah undang-undang.
Sebelum ini, PETRONAS mengesahkan anak syarikatnya, PCSB menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada 30 April lalu, berhubung pemprosesan dan pengedaran gas.-BH Online