KUALA LUMPUR: Negara menerima kuantiti buangan bateri mengandungi kadmium dan nikel, raksa atau litium, sebanyak 2,802.17 tan dengan peratus penjanaan ialah 0.05 pada 2023.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata berdasarkan statistik buangan bateri berkenaan, jumlahnya meningkat dari 1,120.03 tan pada 2013 hingga 25,561.98 tan pada 2020.
“Penghasilan buangan terjadual kod SW 103 pada 2020 meningkat 600.47 peratus disebabkan percampuran buangan terjadual SW 103 dengan buangan kimia,” katanya kepada BH, di sini.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) dalam negara menjelang 2040 susulan berlaku gerakan ‘penghijrahan’ bagi infrastruktur EV pada peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada EV.
Sasaran baharu meningkat
Sasaran baharu itu juga meningkat berbanding sasaran ditetapkan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) sebelum ini, iaitu sejumlah 90,000 kenderaan EV pada 2040.
Tahun lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengakui sedang berusaha mewujudkan satu garis panduan bagi pelupusan panel solar dan bateri EV di negara ini.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, negara mempunyai lima premis ditetapkan buangan terjadual (PYDT BT) bagi menerima buangan terjadual kod SW103 membabitkan buangan bateri kereta elektrik (EV).
Beliau berkata, ia membabitkan Sungeel Hi Tech Sdn Bhd, Pelabuhan Klang, Selangor dan Hi Tech Full Recovery (M) Sdn Bhd, Padang Meha, Kedah.
Katanya, tiga premis lain ialah TES AMM (M) Sdn Bhd, Pasir Gudang, Johor; MEP Enviro Technology Sdn Bhd dan Econili Sdn Bhd, Perak.
Kod SW103 membabitkan bateri EV atau lithium ialah buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Ia buangan bateri mengandungi kadmium dan nikel atau raksa atau litium. Bateri EV sekali gus tidak dikategorikan sebagai sisa elektronik (e-waste)
“Bateri EV merujuk kepada bateri kenderaan elektrik yang menjadi sumber tenaga bagi kenderaan EV dan bateri jenis lithium ion adalah paling biasa digunakan kerana kecekapan tenaga, ketahanan kitaran pengecasan dan ketumpatan tenaga yang tinggi,” katanya.
Nik Nazmi berkata, sehingga kini Malaysia masih boleh menampung buangan bateri EV melalui kapasiti sedia ada di negara ini.
Sehingga kini, katanya, buangan bateri kereta EV diterima adalah kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan buangan terjadual yang dijana setiap tahun.
“Jumlah ini bagaimanapun masih kecil dan kapasiti sedia ada masih boleh menampung keperluan semasa,” katanya.-BH Online