Kuala Terengganu: Kerajaan akan meningkatkan pengeluaran telur khas gred C yang lebih murah bagi menampung permintaan di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, telur keluaran khas yang mula diperkenalkan dengan harga RM5 pada Ramadan lalu itu mendapat sambutan yang baik.
Beliau berkata, harganya yang lebih murah memberi peluang kepada rakyat mendapatkan bekalan telur berkenaan sekali gus menstabilkan harga telur terutama selepas penamatan subsidi telur pada Ogos depan.
“Kita juga nak memperbanyak keluaran telur khas yang lebih murah (seperti yang dijual pada) bulan Ramadan baru-baru ini (apabila) dijual RM5 sepapan.
“Kali ini, tak tahu harganya macam mana tetapi kita yakin tidak akan naik melambung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Rumah Terbuka Pakatan Harapan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Mohamad berkata, selain bekalan telur khas, rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih berpatutan melalui jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Katanya, penamatan kadar subsidi telur yang dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula 1 Mei dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini serta ayam pada 2023 dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.8 bilion yang boleh digunakan untuk pembangunan yang lain.
“Sekarang ini, kita dapati keadaan makin reda dan kita dapati bila subsidi ayam diselaraskan, ditarik didapati harganya tidak naik (dan) kita harap telur pun jadi begitu,” katanya.
Menurutnya, kementeriannya juga kekal melarang eksport telur ayam ke luar negara kecuali syarikat yang terikat perjanjian sebelum ini.
Katanya, tindakan berkenaan diambil untuk memastikan bekalan telur di pasaran tempatan tidak terjejas.-MyMetro Online