KUALA LUMPUR: Projek perumahan Residensi Kecapi yang terbengkalai hampir 10 tahun dilancarkan hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Projek di Sentul itu membabitkan 250 unit kediaman dan ia antara usaha kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada komuniti bandar, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Dr Zaliha berkata unit yang ditawarkan berkeluasan 60.4 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik serta dua bilik air.
“Saya kira ia selesa untuk didiami,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran, di sini, hari ini.
Residensi Kecapi turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, dewan orang ramai, tempat letak kenderaan, dan ruang perniagaan bagi memenuhi keperluan harian penduduk.
Turut diadakan program pembangunan komuniti dengan kerjasama Universiti UCSI yang menyasarkan pembangunan anak-anak dari komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Dr Zaliha berkata program itu sejajar dengan inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang bertujuan membasmi kemiskinan bandar.
“Kerjasama strategik seperti ini wajar dicontohi pemaju lain agar komuniti yang dibangunkan bukan sahaja mempunyai rumah tetapi juga menjadi masyarakat sejahtera dan melahirkan generasi peneraju negara,” katanya.
Daripada 250 unit yang dibina, 175 unit ditawarkan kepada penduduk setempat, dan setakat ini 27 daripadanya telah ditandatangani oleh bakal penghuni.-BH Online