Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Tiada saman akan dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan advokasi bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025. 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr Azuana Ramli berkata fasa tiga bulan berkenaan bertujuan melihat pelaksanaan perintah itu dijalankan dengan baik.

“Dalam tempoh itu, ia akan menjadi proses bagi kedua-dua pihak iaitu kerajaan serta pemegang taruh untuk menjalankan etika perniagaan masing-masing dan menjelaskan perkara yang perlu dilakukan. 

“Pada masa sama, KKM juga akan melihat bagaimana perintah itu dilaksanakan sama ada perlu untuk melanjutkan tempoh advokasi selepas tamat tempoh tiga bulan atau terus melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Jadi jangan bimbang kerana tiada hasrat untuk mengenakan sebarang tindakan sepanjang tempoh terbabit termasuk mengeluarkan saman,” katanya pada taklimat berhubung Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723), hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam. 

Dr Azuana berkata, KKM menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi belum berkesempatan turun ke lapangan bagi pemeriksaan pelaksanaan perintah itu yang bermula semalam.

“Bagaimanapun, kami ada membuat pemantauan di media sosial sekiranya terdapat aduan mahupun kekeliruan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, tiada sebarang saman dikeluarkan pihaknya pada hari pertama pelaksanaan perintah itu dilakukan, susulan terdapat dakwaan seorang doktor diugut dikenakan saman oleh pegawai penguat kuasa KPDN. 

“Ini kerana, selain perintah penandaan harga ubat, pegawai penguat kuasa KPDN juga melaksanakan pemeriksaan bagi tindakan penguatkuasaan lain seperti tong gas serta telur yang berkuat kuasa semalam. 

“Jadi memang tiada sebarang notis dan saman keluarkan oleh pegawai kami, berkaitan dakwaan itu,” katanya.-BH Online