PUTRAJAYA: Malaysia dan Kosovo terus memperkasa hubungan perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara terutama dengan pembukaan kedutaan republik itu secara rasmi di Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pembukaan kedutaan itu adalah satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan secara langsung memudahkan urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan serta pelancongan.
“Ini termasuklah produk halal kerana pensijilan halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, begitu juga dengan eksport produk dari Malaysia ke Kosovo dan sebaliknya.
“Namun yang lebih penting ialah kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan supaya kita dapat memanfaatkan kekuatan Kosovo serta hubungan kukuhnya dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi empat hari Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Malaysia.
Difahamkan, Pejabat Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau memberi jaminan kepada Osmani bahawa rundingan dua hala di peringkat rasmi akan disegerakan bagi memastikan kesinambungan program, projek serta hubungan perdagangan serta ekonomi dapat diperkasakan.
“Saya menantikan lebih banyak kerjasama, selain daripada kerjasama teknikal dan program lain bersama Kosovo, percayalah bahawa kita tidak melihat hubungan ini sebagai satu urusan diplomatik biasa.
“Malaysia benar-benar komited sebagai rakan sejati, yang komitmennya melangkaui hubungan diplomatik biasa kepada perdagangan, pelaburan dan hubungan bermakna antara kedua-dua negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, selain hubungan mengenai kedua-dua negara, mereka turut membincangkan beberapa isu antarabangsa, kerana mempercayai prinsip kemerdekaan, hak asasi manusia serta penghormatan terhadap maruah manusia.
“Perbincangan kami merangkumi pelbagai isu global, dari Palestin sehingga usaha damai di banyak bahagian dunia,” katanya.
Terdahulu, Osmani yang dalam lawatan empat hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengadakan perbincangan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat.-BH Online