KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus bekerjasama dengan Basel Action Network (BAN) sejajar komitmen Malaysia untuk membanteras pengimportan haram e-waste dan plastik, khususnya dari negara maju.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu dizahirkan semasa penyertaannya dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS COPs) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 28 April hingga 9 Mei .
Dalam pertemuan bersama Pengarah Eksekutif dan pengasas BAN, Jim Puckett, kedua-dua pihak menumpukan kepada usaha memintas dan menghantar pulang kontena sisa haram, selain memperkukuh kerjasama dalam aspek perkongsian maklumat dan penguatkuasaan serantau.
“Malaysia kekal lantang dalam menyuarakan pendirian terhadap kawalan kemasukan sisa berbahaya dan bahan kimia rentas sempadan.
“Kita juga menegaskan bahawa ASEAN bukan destinasi dunia untuk penghantaran sisa toksik dan bahan buangan yang sukar dikitar semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kehadirannya ke persidangan itu memperlihatkan komitmen tinggi Malaysia terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya, selari dengan kedudukan Malaysia sebagai antara negara membangun yang aktif dalam rundingan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia mengambil peluang mengetengahkan harapan dan usaha negara dalam menangani pencemaran bahan kimia dan sisa merentas sempadan, serta kesannya terhadap perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.
Dalam lawatan sama, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar, Dr Abdullah bin Abdulaziz bin Turki Al Subaie, membincangkan peluang kerjasama melalui memorandum persefahaman dalam bidang alam sekitar.
Nik Nazmi juga mengadakan pertemuan singkat bersama wakil Business Coalition for a Global Plastics Treaty dan Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC), Jyoti-Mathur Filipp, bagi membincangkan pendekatan ke arah memuktamadkan dan melaksanakan Perjanjian Plastik Global secara adil, berkesan dan praktikal.
“Komitmen seumpama ini akan memastikan Malaysia terus memberi perhatian kepada isu-isu antarabangsa demi memelihara kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar,” katanya.-BH Online