Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Kerajaan memberi jaminan untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan laut negara menerusi penambahan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ini termasuk perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) dan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang kini berada dalam fasa ujian pelabuhan dan laut.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata LCS pertama dijangka siap sepenuhnya dan dapat digunakan menjelang tahun hadapan, selaras dengan jadual perancangan kementerian.

“Proses pembinaan LCS pertama telah dimuktamadkan dan kini berada dalam ujian pelabuhan serta ujian laut.

“Kita juga mempunyai komitmen tinggi untuk menambah LMS seperti yang telah dimeterai melalui kerjasama dengan Turkiye,” katanya pada sidang media pada Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita mengenai cabaran dihadapi TLDM berikutan aset armada tempur milik pasuka itu yang semakin berusia. 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif, Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi serta Guru Besar SK TUDM Subang, Zatul Bazamah Abu Bakar

Adly berkata, kerajaan turut memastikan setiap aset baharu dilengkapi teknologi terkini bagi memenuhi keperluan semasa dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kerajaan sentiasa ingin meningkatkan keupayaan TLDM dan sebab itulah kita dapat melihat komitmen dengan perolehan LCS dan LMS. 

“Di samping memastikan TLDM memiliki aset, kita juga akan memastikan ia memiliki teknologi tinggi yang memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya.

Mengenai penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) bulan ini, Adly berkata selain aspek ketenteraan, pameran dwi tahunan itu akan menjadi platform diplomasi pertahanan dan kerjasama antarabangsa.

“LIMA bukan sekadar pameran aset ketenteraan, sebaliknya ruang penting diplomasi pertahanan melibatkan pelbagai negara luar yang akan hadir sebagai tetamu.

“Kementerian juga sudah bersedia menerima delegasi antarabangsa untuk pameran kali ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Digitalisasi Affin Digital Space, Adly berkata sebanyak tiga sekolah dalam kem tentera dipilih menerima kemudahan itu sebagai usaha meningkatkan keupayaan pembelajaran digital dalam kalangan murid sekolah rendah.

Tiga sekolah terbabit ialah SK TUDM Subang, SK KEMENTAH di ibu negara serta SK Sir Sultan Ibrahim di Kluang, Johor.

“Fokus kita adalah kepada sekolah dalam kem kerana sekolah luar kem sudah ada inisiatif tersendiri di bawah Kementerian Pendidikan. Buat masa ini kita tumpukan dahulu kepada tiga sekolah ini.

“Projek ini akan diperluas ke sekolah dalam kem tentera yang lain mengikut impak pelaksanaan dan setakat ini sebanyak RM94,000 dibelanjakan melalui sumbangan Affin Bank bagi membangunkan studio digital di ketiga-tiga sekolah terlibat,” katanya.

Difahamkan, terdapat keseluruhan 27 sekolah dalam kem di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam bidang digital, malah membantu meningkatkan kesejahteraan anggota tentera menerusi pendidikan anak-anak mereka.-BH Online