Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kosovo tidak akan pernah melupakan jasa Malaysia yang banyak membantu republik itu ketika berdepan detik sukar, selain menjadi antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaannya pada 2008.

Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu, berkata pengiktirafan Malaysia membawa makna yang besar dan bukan sekadar diplomasi. 

“Ia membawa harapan dan solidariti. Ia membawa kepercayaan terhadap masa depan rakyat kami dan atas segalanya itu, penghargaan kami (kepada Malaysia) tidak akan pernah luntur. 

“Hari ini, kita bukan sekadar menoleh ke masa lalu, kita melihat ke hadapan dengan tujuan yang jelas dan semangat tinggi dalam hubungan antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia.

Osmani berkata, menerusi perbincangan bersama Anwar, Malaysia dan Kosovo meneroka pelbagai pendekatan baharu bagi mempertingkatkan kerjasama antara kedua-dua negara. 

“Kami mengulangi komitmen terhadap hubungan diplomatik yang lebih kukuh, kerjasama ekonomi lebih erat dan pembabitan yang bermakna dalam bidang berkepentingan bersama. 

“Adalah satu penghormatan besar untuk berdiri di bumi Malaysia, satu detik yang akan dikenang sebagai pencapaian penting dalam hubungan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya. 

Dari segi ekonomi, Kosovo dan Malaysia bersetuju mengenai kepentingan memperluaskan perdagangan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor utama.

“Terdapat banyak potensi, dari pertanian ke tenaga, teknologi hingga industri halal. Oleh itu, kita harus mendekatkan hubungan perniagaan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, dan membuka ruang untuk peluang baharu,” katanya. -BH Online