Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Malaysia mengikuti rapat perkembangan ketegangan antara Pakistan-India, berikutan kedua-duanya negara berkenaan adalah sahabat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia berharap ketegangan antara keduanya tidak berakhir dengan peperangan.

“Kita sedang memerhatikan (ketegangan Pakistan-India) dan seperti negara lain serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya dapat dikawal ketegangan antara kedua-dua negara sekali gus mengelakkan peperangan.

“Jika berperang tentunya akan mendatangkan kesan yang buruk terutamanya kepada rakyat kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara adalah negara sahabat bagi Malaysia, jadi kita tak mahu kedua-duanya berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) PVATM Negeri Johor ke-56, di sini, hari ini.

Pakistan hari ini dilaporkan mengulangi amaran pasukan risikan yang boleh dipercayai dan mendakwa India merancang melancarkan serangan tentera terhadap negara itu dalam masa terdekat.

Ia berikutan ketegangan antara kedua-dua negara bersenjata nuklear itu semakin memuncak susulan serangan berdarah mengorbankan 26 pelancong di Kashmir yang ditadbir India.

Dalam serangan pada 22 April itu, sekurang-kurangnya enam pengganas memisahkan mangsa lelaki sebelum menembak mereka dari jarak dekat di kawasan Pahalgam, menurut pegawai dan mangsa yang terselamat.

India mengenal pasti tiga penyerang, termasuk dua warganegara Pakistan, sebagai pengganas yang menjalankan pemberontakan bersenjata di wilayah majoriti Islam itu.

Islamabad menafikan sebarang pembabitan dan menggesa siasatan bebas dijalankan.

India yang majoriti penduduknya beragama Hindu menuduh Pakistan, sebuah negara Islam, membiayai dan menyokong kegiatan militan di Kashmir – wilayah di Himalaya yang dituntut kedua-dua negara tetapi ditadbir secara berasingan.

Islamabad pula menyatakan sokongan moral dan diplomatik terhadap perjuangan rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, Kementerian Pertahanan berharap perolehan aset baharu pertahanan yang sudah dimohon akan mendapat pertimbangan baik daripada kerajaan.

“Kita memang sudah kemukakan (permohonan perolehan aset pertahanan) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe13).

“Tahun ini, sebelum akhir tahun, kerajaan akan bentangkan laporan (RMK-13) dan kita berharap perkara yang sudah dimohon itu mendapat pertimbangan yang baik daripada kerajaan,” katanya.-BH Online