Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi keutamaan untuk membiayai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghafaz Al-Quran. 

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pembiayaan itu bagi membolehkan pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Pelajar cemerlang SPM yang hafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan oleh MARA untuk dibiayai pengajian mereka ke luar negara dalam bidang strategik profesional,” katanya dalam Facebook hari ini. 

Pengumuman itu mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial dengan mengemukakan beberapa cadangan kepada Asyraf untuk dipertimbangkan.

Pengguna media sosial, Aizuddian Danian berkata, pelajar itu bukan sahaja perlu menghafal tetapi ketika sesi temuduga, pihak MARA perlu mengajukan beberapa soalan yang dapat menunjukkan mereka memahami mesej dalam Al-Quran. 

“Sekiranya semua faktor lain adalah sama (syarat) dan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai Al-Quran, ia perlu diiktiraf dan digalakan. 

“Dr (Asyraf), bukan sekadar menghafal, (tetapi) bila anda menemuduga mereka, sila ajukan soalan yang dapat menunjukkan bahawa mereka memahami mesej Al-Quran dan bagaimana mereka menjalani kehidupan berlandaskan Al-Quran. 

“Inilah jenis pemimpin masa depan yang kita inginkan di Malaysia,” katanya.

Cadangan itu dipersetujui oleh Asyraf dan akan mempertimbangkan mengenai perkara itu.

“Terima kasih atas idea yang bernas. Kami akan ambil maklum mengenai perkara ini,” katanya. 

Langkah diambil Asyraf itu bertepatan dengan arahan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, sebelum ini yang meminta MARA melaksanakan program Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Ahmad Zahid berkata, matlamat utama adalah untuk memastikan kesemua 57 MRSM dengan kapasiti pelajar sebanyak 37,000 orang dapat melahirkan generasi mempunyai kekuatan dan kemantapan jiwa bersandarkan al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang sudah ditetapkan.-BH Online