KANGAR: Kerajaan Persekutuan melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyegerakan pembinaan Sekolah Sukan Perlis (SSP) yang diumumkan pembinaannya sejak 11 tahun dahulu.
Projek SSP merangkumi pembangunan kompleks sekolah khusus dalam bidang sukan yang sepatutnya siap pada 2014 selepas dimulakan kerja pecah tanah dilakukan setahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara ini dizahirkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang ingin pembinaan SSP disegerakan pembinaannya.
“Sudah berbelas tahun, sukan tiada, sekolah pun tiada jadi akhirnya saya putuskan untuk batalkan langkah sedia ada dan melantik syarikat GLC seperti Khazanah Nasional (Khazanah) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang punyai kewibawaan.
“Kita beri arahan untuk segerakan tahun ini juga untuk memulakan projek, memulakan pelaksanaan projek ini dengan kadar segera bersama peruntukkan apa yang perlu untuk menyiapkan sekolah sukan di Perlis,,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, di sini hari ini.
Turut berangkat dalam majlis berkenaan adalah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan isteri, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis juga turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri yang ditadbir Mohd Shukri dan Kerajaan Persekutuan membolehkan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan dilaksanakan di Perlis ketika ini.
“Mohd Shukri sentiasa beri kerjasama yang baik walaupun di tempat lain kita dikecam kerana seolah-olah meminggirkan Perlis, sedangkan untuk apa saya pinggirkan mana-mana negeri.
“Jika dilihat berdasarkan angka dan fakta, pemberian Kerajaan Persekutuan yang disalurkan langsung kepada Perlis meningkat sebanyak 25 peratus di bawah Kerajaan MADANI di mana pada 2022, ia merekodkan RM168.4 juta kemudian meningkat pada 2023 sebanyak RM182.3 juta dan pada tahun lalu pula meningkat kepada RM210.6 juta.
“Selain itu, Peruntukan Pembangunan Perlis turut dinaikkan sebanyak 65 peratus dari RM391.91 juta pada 2022 meningkat.kepada RM596.82 juta kepada RM645.58 juta pada tahun lalu,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa dalam berdepan cabaran kos sara hidup, kerajaan sudah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan tambahan RM3 bilion.
“Jumlah ini membabitkan bilangan penerima naik dari 700,000 kepada 5.4 juta bermula 1 April lalu dengan setiap isi rumah menerima sehingga RM100 sebulan yang dikreditkan melalui MyKad dibelanja di kedai runcit.
Selain itu, penerima manfaat SARA di negeri Perlis juga meningkat dari 25,682 tahun lalu kepada 62,292 setakat April lalu dimana ia meningkat 2.5 kali ganda penerima,” katanya.
Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa melawat gerai makanan yang ada disediakan dalam majlis itu.-BH Online