KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu mangsa jenayah seksual di bawah umur melalui Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) yang disediakan di setiap hospital seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata OSCC ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa penderaan, perkosaan dan juga keganasan rumah tangga.
Katanya, kes sedemikian yang dirujuk di bawah OSCC akan memudahkan agensi lain untuk turut sama memainkan peranan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“KKM bukanlah sebagai agensi utama dalam menangani isu sebegini tetapi pihak kami akan terus memberi kerjasama dengan pihak lain supaya insiden sebegini tidak lagi berlaku di seluruh negara.
“Selain itu, KKM juga mengambil pendekatan dengan memberi pendidikan dalam konteks kesihatan seksual terutama kepada kanak-kanak serta remaja bawah umur.
“Insya-Allah, inisiatif untuk menangani masalah seperti kes rogol dan sumbang mahram sebagai contohnya akan dibincangkan ke Mesyuarat Kabinet jika mendapat persetujuan atau pandangan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengulas mengenai peningkatan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan selepas Majlis Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.null
Dr Dzulkefly berkata bagaimana pun, isu ini bukan sahaja difokuskan untuk negeri Kelantan malah di negeri lain juga agar negara terus selamat dan bebas daripada kes terbabit.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM mengharapkan lebih ramai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan semalam, memilih bidang perubatan bagi melengkapkan keperluan pakar perubatan di dalam negara.
“Mereka perlu diberi pendedahan akan kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di masa hadapan yang memberi manfaat bukan sahaja masyarakat tetapi juga negara.
“Langkah ini secara tidak langsung boleh menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan di dalam negara,” katanya.-BH Online