HULU SELANGOR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan 112 ekor Tapir Malaya disahkan mati akibat dilanggar kenderaan di jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya di negara ini sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata data terkini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menunjukkan hanya 700 hingga 800 ekor Tapir Malaya berada di habitat asal.
Justeru, beliau berkata pelbagai inisiatif dan inovasi dilaksanakan pihak kementerian bagi mengatasi kes kematian tapir akibat kemalangan jalan raya.
“Antara kita laksanakan termasuk pemasangan jalur rentas kuning, papan tanda LED (diod pemancar cahaya) hidupan liar melintas dan solar amber light di beberapa lokasi seperti di Gerik, Perak dan di Kedah.
“Kita juga sedia mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif ini di kawasan bersesuaian termasuk di Selangor yang ada kes-kes kematian tapir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tapir Sedunia di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun di Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.
Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies tapir, selain meraikan usaha konservasi yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap spesies hidupan liar berkenaan.
Mengulas usaha pembiakan Tapir Malaya, Nik Nazmi berkata kementerian melalui PERHILITAN akan terus mempergiat usaha konservasi secara kaedah in-situ (di habitat asal) dan ex-situ (di luar habitat asal seperti pusat konservasi).
“Selain itu, perlindungan habitat dan koridor ekologi akan terus diperkukuh dengan pembinaan jejambat di Koridor Ekologi Sungai Deka di Terengganu, Koridor Ekologi Sungai Yu di Pahang dan Koridor Ekologi Gerik.
“Malah kerja-kerja bagi tujuan pembinaan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan juga sudah kita mulakan ketika ini,” katanya.-BH Online