Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan dibuka semula kepada kunjungan umum bermula jam 9 pagi esok.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan hari ini berkata, pembukaan semula itu selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan dan persekitaran yang kondusif serta selamat kepada pengunjung.

“Ia juga selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan pekerja terbabit,” kata kenyataan itu.

Menerusi pengurusan baharu premis Menara KL diterajui syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), kerajaan komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien dan berorientasikan pelanggan.

“(Kerajaan turut komited laksana) penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Pada 17 April lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menara KL yang ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan dan menyelesaikan isu berkaitan keselamatan akan dibuka semula secepat mungkin selepas dua aspek utama itu diselesaikan pemegang konsesi baharu, LSHSM.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, bermula 1 April lalu, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL diambil alih syarikat LSHSM.

Menurut kenyataan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.– BERNAMA