PUTRAJAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion ke daerah Segamat dan Mersing di Johor dalam suku pertama 2025.
Pelaburan ini dipacu oleh pembangunan strategik dalam sektor pembuatan, khususnya tenaga boleh baharu, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi di kedua-dua daerah berkenaan.
ECERDC turut giat membangun Segamat dan Mersing untuk dibentuk sebagai hab pengeluaran makanan, dengan menarik pelaburan serta melaksanakan inisiatif berfokus dalam sektor pertanian, perikanan dan tenusu, untuk memperkukuh peranan Johor dalam agenda keterjaminan makanan negara.
Mersing pula turut dibangunkan sebagai sebuah lokasi pengenalan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi dan kepulauan, disokong oleh penaiktarafan infrastruktur dan inisiatif eko-pelancongan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehcapaian dan pengalaman pelawat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pencapaian ini amat memberangsangkan untuk Segamat dan Mersing.
“Dengan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ECERDC, kami yakin bahawa lebih banyak pelaburan berimpak tinggi akan dapat diperoleh untuk mempertingkatkan pembangunan ekonomi di kedua-dua daerah ini.
“Usaha ini juga selari dengan Rancangan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang menyasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM13 bilion menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Johor pertama tahun 2025 di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata sektor pertanian kekal sebagai teras utama dalam strategi ECERDC dalam menjana pembangunan mampan dan inklusif di Mersing dan Segamat.
“Inisiatif seperti Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing dan Program Usahawan Tani – Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) di Segamat membuktikan komitmen kami dalam memperkukuh ekosistem agro-makanan negara, memperkasa komuniti luar bandar dan mencipta peluang ekonomi baharu.
“Dengan mengintegrasikan infrastruktur pertanian moden, aktiviti hiliran nilai tambah dan amalan pertanian pintar, kami akan terus mengusahakan pembangunan ekonomi luar bandar yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, sejajar dengan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Antara projek utama di Segamat termasuklah pembinaan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860 megawatt (MW) di atas tanah seluas 1,700 ekar, menjadikannya salah satu projek tenaga boleh baharu yang terbesar di rantau ini.
Selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), projek ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara terhadap pembangunan rendah karbon.
Manakala, Segamat pula akan dibangunkan dengan kemudahan biomass yang menukar buah tandan kosong kepada palet bahan api sawit, untuk menyokong penggunaan lestari melalui sisa pertanian serta menyumbang kepada ekonomi kitaran.
Di Mersing, pembangunan JDV menjadi salah satu pemangkin utama kepada agenda keterjaminan makanan negara.
Sehingga Mac 2025, projek hab tenusu moden bersepadu ini telah mencapai 93 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2025.
Setelah beroperasi, JDV dijangka meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan membuka peluang pekerjaan baharu.
Pembangunan infrastruktur berkaitan dengan pelancongan di daerah ini juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
Antara projek utama termasuklah Peta Rainforest Discovery Centre , penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, penyiapan jeti Pulau Pemanggil, serta pembinaan Pusat Maklumat dan Khidmat di Taman Laut Sultan Iskandar di Pulau Besar.-BH Online