PUTRAJAYA: Malaysia dan Hong Kong sedang meneroka kerjasama strategik dalam dasar perburuhan dan pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan semalam memaklumkan kerjasama itu khususnya melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), latihan kemahiran serta kebajikan pekerja.
Perkara berkenaan, menurut KESUMA menjadi tumpuan perbincangan antara Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bersama Setiausaha Buruh dan Kebajikan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Chris Sun, yang mengadakan kunjungan hormat di sini, baru-baru ini.
Kenyataan itu memaklumkan Sim ketika kunjungan itu menyatakan bahawa kedua-dua pihak mempunyai peluang untuk berkongsi pengalaman dan cabaran bersama dalam pembangunan tenaga kerja, keselamatan pekerjaan dan latihan kemahiran.
“Hong Kong merupakan sebuah bandar maju dan terdapat banyak amalan terbaik dalam sektor pembinaan, pembuatan dan sebagainya yang boleh kita pelajari,” kata Sim menerusi kenyataan itu.
Beliau turut menggariskan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja mahir, khususnya juruteknik dan jurutera, bagi menyokong transformasi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi.
“Hal ini merupakan isu yang sangat kritikal memandangkan negara sedang menuju ke arah ekonomi lebih bernilai tinggi. Kita mahu memastikan pekerja kita bersedia menghadapi cabaran abad ke-21,” katanya.
Sementara itu, Sun dalam kenyataan sama memaklumkan Hong Kong giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik golongan muda berbakat sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran penuaan populasi.null
“Kami juga melihat permintaan tinggi terhadap tenaga kerja barisan hadapan selain profesional dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan kewangan,” katanya.
Sun turut memperkenalkan inisiatif Hong Kong dalam memperkukuh aspek OSH serta pemerkasaan semula tenaga kerja, di samping menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama lebih erat bersama Malaysia dalam bidang sumber manusia.
Dalam pada itu, delegasi Hong Kong turut mengulangi rancangan untuk menubuhkan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di Kuala Lumpur tahun ini, sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan negara ASEAN.– BERNAMA