Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK (Thailand): Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, di sini petang tadi dan membincangkan situasi gempa bumi serta soal bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, perbincangan berlangsung secara jujur dan membina, tertumpu kepada keperluan kemanusiaan yang mendesak bagi rakyat Myanmar.

Katanya, ini termasuk keperluan segera untuk menempatkan hospital medan dan kepentingan mengembalikan negara berkenaan kepada keadaan normal.

“Saya menyambut baik langkah-langkah terkini untuk meredakan ketegangan termasuk pembebasan 4,800 tahanan malam semalam.

“Isyarat seperti ini amat bermakna,” katanya melalui hantaran di Facebook malam ini.

Pertemuan bermula jam 3.30 petang tadi di sebuah hotel di sini dan berlangsung selama lebih sejam.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang juga Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

Menurut Anwar, beliau akan bertemu wakil daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pagi esok.null

“Kami (ASEAN) terus menggalakkan semua pihak untuk terlibat secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, buat pertama kali seorang ketua ASEAN akan mengadakan pertemuan dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

“Walaupun ASEAN masih berpegang pada Konsensus Lima Perkara sebagai syarat utama kerjasama dengan Myanmar, pertemuan ini diadakan atas dasar kemanusiaan.

“Gempa bumi melanda Myanmar baru-baru ini agak parah dan Jemaah Menteri bersetuju meneruskan bantuan termasuk melalui hospital sementara yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu mengorbankan 3,706 orang, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang setakat Selasa lalu.-BH Online