TAPAH: Kerajaan akan menyemak harga benih padi sah (BPS) dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada pada kadar munasabah dan tidak membebankan pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementeriannya sentiasa prihatin dengan tuntutan komuniti terbabit dengan sektor keterjaminan makanan negara.
“Memang buat masa ini diturunkan RM2 (benih padi), saya harap petani kena terima dulu dan beri bekerjasama kerana jika tiada bekerjasama, kita tidak dapat mewujudkan kestabilan harga barang keperluan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Isnin lalu, berkata harga kawalan maksimum BPS di bawah Insentif Benih Padi Sah diselaraskan kepada RM52 pada peringkat borong dan RM56 bagi runcit perkampit 20 kilogram (kg) di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa Selasa lalu.
Bagaimanapun, media melaporkan gesaan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) supaya kadar itu dikaji semula memandangkan penurunan sebanyak RM2 sekampit tidak memberi impak besar terhadap kos keseluruhan pesawah.
Sementara itu, Mohamad berkata, harga santan kelapa yang secara umumnya mengalami sedikit penurunan pada Aidilfitri lalu dijangka stabil dalam masa sebulan lagi.
“Kita ambil (import) kelapa dari luar lebih sejuta biji dan akan ditambah dari semasa ke semasa, cuma ini musim perayaan, selepas ini ia kembali stabil (turun),” katanya.-Bernama