PUTRAJAYA: Malaysia dan China komited untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan, selain teknologi baharu seperti inisiatif kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kerjasama turut membabitkan semua kaedah yang dibincangkan kedua-dua negara sejak sekian lama.
“Malaysia mengalu-alukan kedatangan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini, bukan saja sebagai Presiden kepada sebuah negara besar, tetapi juga sebagai sahabat yang sejati.
“Seperti yang saya nyatakan ketika pertemuan kita di China, Presiden Xi menunjukkan satu persona baharu, kepemimpinan, bercakap mengenai pertumbuhan dan pelaburan serta kemajuan ekonomi.
“Beliau bercakap mengenai membasmi kemiskinan dan membuktikan kejayaannya dan lebih penting, mengenai kemakmuran dan tamadun yang dikongsi bersama, yang hampir tidak dizahirkan oleh mana-mana pemimpin moden di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia dan China di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri Xi dan Menteri Kabinet serta pegawai kedua-dua negara.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selepas mesyuarat berkenaan, kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan Xi tiba di Malaysia petang semalam, untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Xi turut menyatakan komitmennya yang kukuh untuk memperdalamkan lagi kerjasama dengan Malaysia, dan berharap hubungan antara kedua-dua negara berkembang sehingga ke generasi akan datang.
“Saya sedia bekerja keras bersama anda (Perdana Menteri) untuk memajukan lagi masyarakat China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama dalam hala tuju strategik peringkat tinggi, yang membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kita dan menyumbang kepada kemakmuran serantau.
“Biarlah persahabatan antara China dan Malaysia berkembang untuk generasi akan datang.
“Ini adalah kepulangan saya ke Malaysia selepas 12 tahun. Malaysia sudah mencapai satu kejayaan baharu dalam pembangunan negara.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan advokasi anda mengenai ‘Malaysia MADANI’, yang sedang direalisasikan dengan indah,” katanya.
Xi berkata, persahabatan tradisional antara China dan Malaysia menjangkau ribuan batu dan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama dipupuk melalui sejarah, pertukaran budaya, diperkukuh melalui manfaat bersama dan ditingkatkan melalui perpaduan dalam kesukaran.-BH Online