Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pembangunan industri ruminan negara bagi mencapai Kadar Sara Diri 25 peratus menjelang 2030 dan pelaksanaan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030 antara inisiatif keterjaminan makanan yang dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara, semalam.

Mesyuarat itu berperanan merangka cadangan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih inklusif dan mencadangkan strategi berfokus kerajaan dalam menangani isu berkaitan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata mesyuarat itu turut membincangkan pelaksanaan reformasi subsektor akuakultur menerusi penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan teknologi moden.

“Mesyuarat kali ini memperincikan kesan peningkatan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan impaknya terhadap sektor agromakanan negara.

“Selain itu, perbincangan turut membabitkan integrasi Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam dasar keterjaminan makanan negara (dimensi kepenggunaan) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, penghargaan turut dizahirkan terhadap sinergi strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana berjaya mengekang kenaikan harga, menjadikan tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah kawalan harga menjelang musim perayaan.– BERNAMA