Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING : Kementerian Komunikasi menggesa semua pihak khususnya wakil rakyat tanpa mengira parti untuk turut serta mempromosikan program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) x Keusahawanan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program berkenaan bermatlamat untuk melahirkan usahawan yang berpotensi tinggi menerusi latihan keusahawanan berstruktur.

Beliau berkata, program itu menyasarkan penyertaan 7,000 usahawan daripada 

NADI seluruh negara tahun ini dengan sekurang-kurangnya 60 peratus penyertaan disasarkan dalam kalangan wanita.

“Sebab itu kita berharap mendapat sokongan semua pihak dan kita memang bekerjasama dengan semua kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana program ini adalah adalah khidmat untuk masyarakat.

“Jika lebih ramai yang membantu kami membuat promosi, saya percaya lebih ramai kumpulan sasar dapat kita tarik untuk menyertai program ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat NADI Padungan, di sini, hari ini.

Padungan dan Pending adalah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbaharu yang diwujudkan pusat NADI di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan pusat berkenaan di negeri ini kini sebanyak 156.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, daripada 7,000 keseluruhan peserta yang disasarkan tahun ini, sekurang-kurangnya 60 peratus adalah wanita.

Beliau berkata, NADI x Keusahawanan adalah salah satu teras utama di bawah pelaksanaan Perkhidmatan Pintar di pusat NADI. 

Menurutnya, di bawah teras itu, pelbagai program keusahawanan dirangka dan dilaksanakan bagi menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat, khususnya melalui program NADIpreneur.

“Antara salah satu komponen penting di dalam program NADIpreneur ialah NADI EmpowHER, yang memfokuskan kepada pemerkasaan golongan wanita. 

“Program itu dirangka khusus untuk menyediakan latihan, bimbingan perniagaan, dan khidmat nasihat daripada mentor pelbagai industri bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan kepada wanita yang berminat menceburi bidang keusahawanan di seluruh negara.

“Setakat 31 Mac lalu, seramai 3,390 wanita menyertai latihan keusahawanan di bawah program ini bagi meningkatkan kemampuan mereka menghasilkan produk yang lebih menarik terutamanya dari segi pembungkusan selain membantu mereka membuka akaun untuk perniagaan dalam talian,” katanya.-BH Online