IPOH: DAP menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan karikatur menyindir Perdana Menteri dan Setiausaha Agung parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai politik sangat tidak matang.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, berkata beliau kesal dengan tindakan parti pembangkang itu yang disifatkan tidak wajar dibuat sewaktu proses penamaan calon bahkan dianggap sebagai kebudak-budakan.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, berkata sindiran melalui karikatur sebegitu pastinya berniat jahat serta tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara.
“Saya kesal dengan tindakan PN yang menggunakan karikatur yang seolah-olahnya menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YB (Yang Berhormat) Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP).
“Tindakan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan pendekatan politik yang sangat tidak matang. Sindiran melalui karikatur sebegini, cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar yang perlu kita atasi bersama seperti perang tarif Trump (Presiden Amerika Syrikat, Donald Trump),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kor Ming berkata sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, pihaknya percaya perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan.
“Bukannya secara mempermainkan individu dengan cara kebudak-budakan serta memperalatkan agama serta kaum sebagai modal murahan. Negara kita memerlukan politik yang membina, bukan membinasa.
“Pakatan Harapan (PH) komited dan cakna untuk memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, dalam respon menerusi mesej kepada media, Loke secara berseloroh mengucapkan terima kasih atas tindakan penyokong PN itu yang ‘membawanya’ ke proses penamaan calon biarpun hakikatnya beliau tidak hadir.
“Terima kasih kerana membawa ‘kehadiran’ saya di Ayer Kuning walaupun saya tidak dapat hadir bersama dalam proses penamaan calon untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.-BH Online