BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia terus memperkukuhkan keamanan negara dengan menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Perdana Menteri berkata, hubungan antara kaum ketika ini amat baik dan beliau tidak berasakan sebarang ketegangan.
“Orang Islam bersama Cina, India dan Orang Asli hidup merayakan dalam keadaan yang sangat aman, dengan penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati. Tahniah rakyat Malaysia semua.
“Ini membuktikan apa?. Ini membuktikan di peringkat rakyat keadaan itu baik.
“Kita tidak ada ketegangan, tidak berasakan itu. Masalahnya hanya apabila tokoh-tokoh politik yang sudah ketandusan idea dia hasut supaya benci satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, hari ini.
Anwar berkata, Pulau Pinang antara negeri yang boleh dijadikan sebagai contoh dalam menyatukan hubungan pelbagai kaum.
“Mana ada negara dengan masyarakat berbagai kaum, yang boleh menjaga keharmonian. Sebab itu kita ‘salute’ (hormat) orang Pulau Pinang, kita salute rakyat Malaysia.
“Kalau kita tengok hari ini, beberapa ribu orang Melayu, beberapa ribu orang Cina, beberapa ribu orang India, makan satu meja dan tidak ada rasa iri hati atau permusuhan.
“Saya minta rakyat lihat kepentingan kita dan kekuatan kita kerana tidak banyak negara pelbagai kaum yang boleh catat rekod seperti Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyuarakan gesaan kepada rakyat negara ini supaya menumpukan pembangunan dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.
“Kalau ditanya untuk apa kita berpakat bersatu?. Kerana politik ini stabil, rakyat berbagai kaum bersama-sama, kita tumpu pembangunan.
“Maka kita catat pertumbuhan ekonomi yang baik di Pulau Pinang. Jadi pusat semikonduktor, Pulau Pinang, Kulim, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Jadi kita lihat perkembangan di Selangor dan sekarang di Sarawak. Dengan peralihan tenaga, hidrogen, gas dan di Sabah dengan terjadi ekonomi biru mereka,” katanya.-BH Online